March 23, 2012

WAHHABI DAN KERUNTUHAN KERAJAAN ISLAM TURKI UHTMANIYAH

WAHHABI DAN KERUNTUHAN KERAJAAN ISLAM TURKI UHTMANIYAH 


 Oleh: Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah 

Menerusi salah satu risalah beliau yang berjudul Usah Terpesona Tajdid Segera Wahabi: Mula abad ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam Uhtmaniah (Berita Minggu, Ahad 20 Disember 2009, ms. 30), Muhammad Uthman El-Muhammady menulis: 

Berbanding tajdid Ahli Sunnah kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu. Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah, berlaku penentang terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat. Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apalagi golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat dalam ‘Unwan al-Majdi, akhirnya jatuhlah khalifah itu dengan Kamal Attarturk memberi pukulan maut ke atasnya. 

Sebenarnya isu yang dibangkitkan oleh Muhammad Uthmaniyah El-Muhammady di dalam kenyataannya di atas bukanlah satu isu yang baru. Malah isu ini juga pernah disuarakan oleh beliau sejak beberapa tahun yang lalu iaitu di dalam Mingguan Malaysia, 27 November, 2005. 

Bagi menjawab semula fitnah yang dilontarkan oleh beliau ini, ada baik kiranya kita meneliti sebuah risalah yang penulis nukil daripada buku berjudul Aliran Dakwah di Malaysia: Satu Titik Pertemuan karya saudara Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah (terbitan Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2007), ms. 336 di bawah ini: 

Suatu tuduhan yang tidak pernah putus diperkatakan ialah bahawa, golongan Wahhabiah yang menjadi punca kejatuhan khilafah Turki Uthmani. Tuduhan palsu yang tidak berasaskan fakta sejarah ini perlu diperbetulkan, apalagi kerana ia turut dibangkitkan oleh Ustaz Muhd. Uhtman El-Muhammady. Menurutnya, fahaman Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah di Turki (Mingguan Malaysia, 27 Nov. 2005). Sesiapa yang meneliti sejarah Asia Barat secara saksama, nescaya akan mendapati bahawa kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah tidak ada kaitan sama sekali dengan peranan Saudi-Wahhabi. Untuk memahami peranannya, elok ditinjau latar belakang tanah Hijaz (Makkah-Madinah) terlebih dahulu. 

Dengan tamatnya era Khulafa’ al-Rasyidin (661M), maka lenyaplah juga kepentingan Hijaz (Makkah-Madinah) sebagai pusat pemerintahan dan tamadun Islam. Dengan kenaikan kerajaan Bani Umayyah (661-750M) yang berpusat di Syam atau Damsyik, timbul pemberontakan oleh ‘Abdullah bin Zubair di Hijaz pada zaman Abdul Malik bin Marwan (685-705M), dan juga pemberontakan Khawarij dan penduduk Hijaz pada zaman Marwan bin Muhammad (744-750M). 

Pada zaman kerajaan Bani Abbasiah (750-1258M) yang berpusat di Baghdad, golongan Syiah Alawiyah menjadikan kota Hijaz sebagai pusat penentangan mereka terhadap kerajaan ini. Inilah era pertama sejarah golongan Alawiyah, iaitu era pemberontakan Syiah Alawiyah di Hijaz. Antara para pemberontak tersebut ialah: 

1. Muhammad bin Abdullah (“al-Nafs al-Zakiyah”) bin al-Hassan bin al-Hussain bin Ali bin Abi Talib, yang melancarkan pemberontakannya pada zaman Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pada tahun 145H/761M. Kerana tewas, saudaranya Ibrahim bin Abdullah meneruskan pemberontakannya di Basrah, Iraq. 

2. Al-Hussain bin Ali bin al-Hassan bin Ali bin Abi Talib, yang dibaiat sebagai khalifah di Madinah oleh golongan Alawiyah, dan bangkit memberontak terhadap Khalifah al-Hadi pada tahun 169H. 

3. Muhammad (al-Dibaj) bin Jaafar al-Sadiq, yang dilantik sebagai khalifah oleh golongan Alawiyah pada zaman Khalifah al-Makmun (813-833M). Walau pun tewas, tetapi Khalifah al-Makmun telah mengampunkannya. 

4. Serangan golongan Qaramitah (Syiah Batiniyah) dari Bahrain terhadap pemerintah Bani Abbasiah di Makkah pada 929M. Mereka telah membunuh lebih kurang 30, 000 jamaah haji serta merampas Hajar Aswad lalu dibawa ke Bahrain, sebelum dipulangkan 22 tahun kemudian. 

5. Penguasaan Bani al-Ukhairdhir (Syiah Zaidiyah) secara autonomi di Hijaz pada 335-350H, setelah memisahkan diri daripada Bani Abbasiah. 

Demikianlah sejak pemberontakan “al-Nafs al-Zakiyah” hingga serangan puak Qaramitah, telah terjadi tidak kurang daripada tujuh puluh kali pemberontakan Alawiyah atau Syiah di Makkah. Selepas era pemberontakan Syiah Alawiyah, muncullah era kedua, iaitu era pemerintahan mereka sendiri di Hijaz yang disebut “Nizam al-Asyraf” atau sistem pemerintahan para Syarif, yang bermazhab Syiah yang bermula sejak tahun 928M hingga tahun 1924M. Bagaimanapun ia bukanlah mutlak (de facto) di bawah kuasa mereka, tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh kerajaan-kerajaan luar yang lebih kuat. Para penguasa luar yang turut mencaturi zaman “Nizam al-Asyraf” ialah seperti berikut: 

1. Penguasaan Mesir (Fatimiyah, Ayyubiyah, Mamluk). 
2. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1517-1803M). 
3. Penguasaan Saudi-Wahhabi (1803-1813M) yang berpusat di Dar’iyah. 
4. Penguasaan Muhammad Ali Pasya (1813-1841M) dari Mesir. 
5. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1841-1916M). 

Tetapi mulai tahun 1916, Syarif Hussain bin Ali (1908-1924) lalu mengisytiharkan kemerdekaan Hijaz daripada penguasaan Turki, dengan membentuk sistem monarki (Nizam al-Mamlakah). Bagaimanapun dengan kebangkitan semula gerakan Saudi-Wahhabi, akhirnya pemerintahan Syarif Hussain jatuh pada tahun 1924, dan digantikan oleh kerajaan Saudi-Wahhabi 1925. 

Sejauh manakah kebenaran dakwaan Ustaz Muhd. Uthman El-Muhammady bahawa fahaman Wahhabilah yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Turki Uthmani? Sesiapa yang meneliti sejarah hubungan mereka secara saksama, nescaya akan mendapati bahawa, golongan Saudi-Wahhabi sentiasa menghormati serta setia kepada Khilafah Uthmaniyah, dan kejatuhan Khilafah Islam ini pula tidak ada kaitannya sama sekali dengan golongan Wahhabi. 

Pertama-tama sekali tentang sikap politik Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, menurut Dr. Ajil Jasim al-Nasymi dalam tulisannya “Pemerintahan Khilafah dan Gerakan Wahhabiyah,” dalam kitab-kitabnya (Muhammad bin Abdul Wahab) tidak ada yang menegaskan permusuhannya terhadap pemerintahan khilafah. Tumpuan beliau hanya kepada usaha dakwah, nasihat, atau menentang kemungkaran-kemungkaran (syirik dan bid’ah). 

Dari segi bukti sejarah misalnya, ketika Amir Saudi bin Abdul Aziz berjaya menguasai Makkah pada tahun 1803 dalam era “Nizam al-Asyraf”, dia mengutus surat kepada Sultan Salim III di Turki menyatakan pengakuannya sebagai sultan. Malah, ketika Amir Saudi digantikan oleh puteranya, Abdullah, dia juga mendukung khilafah Islam dengan menyatakan kesetiaannya kepada Sultan Uhtmani. 

Bukan sahaja pada zaman “Nizam al-Asyraf”, malah ketika golongan Saudi-Wahhabi berkuasa penuh di Hijaz yang bermula pada tahun 1925 itu pun, mereka masih mengakui kekhilafahan Uthmaniyah. Contoh terbaik ialah tindakan Malik Abdul Aziz bin Abdul Rahman (1932-1953) yang telah mengutus surat kepada Sultan Abdul Hamid II (1876-1909), dengan mengakui kedaulatannya dan kesetiannya kepada khalifah Turki. 

Jelaslah bahawa, golongan Saudi-Wahhabi bukannya memusuhi bahkan mengakui kedaulatan dan menunjukkan kesetiannya kepada khalifah Uthmaniyah. Sebenarnya mereka yang menentang khalifah Turki yang bermazhab sunni (hanafi) itu ialah, para pemerintah Asyraf (syarif-syarif) Makkah sendiri yang bermazhab Syiah. Contohnya ialah percubaan Syarif Ghalib yang memerintah Makkah bagi pihak Sultan Uthmaniyah yang merancang untuk membebaskan dirinya daripada penguasaan Istanbul. Tetapi sebelum sempat bertindak, ia dicabar oleh golongan Wahhabi yang kemudiannya berjaya menguasai Makkah sepanjang tahun 1803-1813. Malah, yang lebih penting lagi ialah tindakan Syarif Hussain yang sanggup berkerjasama dengan wakil British, T.E Lawrence, untuk melancarkan “Pemberontakan Arab” pada tahun 1916 menentang Sultan Abdul Hamid II di Turki. 

Tidak cukup setakat itu, projek mega landasan keretapi oleh Sultan Abdul Hamid II di antara Damsyik dengan Makkah itu bukan sahaja telah disekat oleh Syarif Hussain bin Ali setakat di Madinah sahaja, malah landasan yang sudah berjaya dibangunkan di Madinah itupun kemudiannya diletupkan oleh pihak Inggeris dengan kerjasama Faisal bin Hussain bin Ali. Padahal, biaya untuk projek mega ini datangnya daripada sumbangan derma Dunia Islam, dan tujuan didirikan itupun adalah untuk mendaulatkan gagasan pan-Islamisme atau Penyatuan Dunia Islam. 

Jika dari segi pertama sudah jelas bahawa, golongan Saudi-Wahhabi menunjukkan kesetiaan kepada khilafah Uthmaniyah, maka persoalannya bolehkah ia didakwa sebagai punca yang membawa kejatuhan khilafah ini? Jelasnya, adakah kejatuhan Turki Uthmani yang kemudiannya digantikan oleh kerajaan sekular pemimpin tokoh Yahudi Dunama yang bernama Mustafa Kemal pada tahun 1925 itu berlaku kerana golongan Saudi-Wahhabi? 

Pada hakikatnya, sebab-sebab kejatuhan Turki Uthmani dapat disimpulkan kepada tiga faktor besar, iaitu: 

1. Keruntuhan akhlak para pemerintah. 
2. Gerakan Yahudi Freemason. 
3. Kerajaan Kristian Eropah. 

Di antara ketiga-tiga faktor besar ini, faktor utamalah yang paling dominan. Memang pada peringkat awalnya, khilafah Uthmaniyah dikuasai oleh sultan-sultan yang berwibawa besar dan mempunyai komitmen dengan manhaj al-Sunnah dalam perjalanan dakwah dan jihadnya. Tetapi pada peringkat kemudiannya, muncullah para penguasa yang menjauh daripada syariat Allah, terlalu menjaga hati rakyat bukan Islam tetapi zalim ke atas umat Islam. Mereka hidup mewah, berpoya-poya dan tenggelam dalam syahwat Kalau pun benar tuduhan bahawa, golongan Saudi-Wahhabi menentang khilafah Uthmaniyah dengan cara membebaskan Hijaz daripada penguasaan Uthmaniyah, maka golongan Saudi-Wahhabi bukanlah satu-satunya pihak yang berbuat demikian. Selain di Hijaz, di sana-sini timbul gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan seperti berikut: 
1. Di Mesir – Gerakan Ali Bek al-Kabir, kemudian gerakan Muhammad Ali. 
2. Palestin – Gerakan pemimpin penduduk tempatan Zahir Umar. 
3. Di Lebanon – Gerakan Fakhrudin Ma’ni, kemudian gerakan orang-orang Syihabiyah. 
4. Di Iraq – Gerakan raja-raja Pasya, puncaknya adalah Sulaiman Pasya (Abu Laila). 
5. Di Yaman – Gerakan al-Zaidiyah. 
6. Di Afrika – Gerakan Sanusiyah. 

Dengan menyingkap tabir sejarah hubungan Saudi-Wahhabi dengan khilafah Turki Uthmaniyah serta faktor-faktor kejatuhan Khilafah Islam hendaknya tidaklah timbul lagi sebarang tuduhan bahawa, golongan Wahhabilah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam di Turki tersebut. hendaknya kita menjadi golongan ‘celik sejarah’ bukannya ‘buta sejarah’ sehingga timbul tuduhan yang melulu dan tidak berasaskan kepada fakta-fakta sejarah yang sebenar, sebaliknya berasaskan emosi semata-mata. 

(Dinukil dari lampiran buku "Siapakah Pengikut Imam Al-Syafie dan Mazhab Syafie yang Sebenar?" Dikarang oleh Mohd Hairi Bin Nonchi dan Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus, Jahabersa, ms. 311-321)

No comments: